Sunday, October 31, 2010

Kok Seng 1 Malaysia Novel - Part 10

"Hahahahaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa!!!"Kok Seng tergelak besar, puas hatinya melihat gagak yang sedang menggelupur menghadapi sakarat itu. Terkumat kamit mulut gagak itu mengucapkan sesuatu,"Asy...hadu...al...LaailaahaillAllaah....""Eh? Dia Muslim?" Kok Seng tercengang kehairanan.

Kok Seng kini berada di atas LRT. Ada sesuatu yang bermain di fikirannya. Amat berserabut. Dia ingin turun di mana-mana stesen kerana kini dia menggunakan pas bulanan. Di atas LRT fikirannya mengelamun. Tiba-tiba dia teringatkan sahabatnya Raju yang juga pekerjanya dahulu. Bagi Kok Seng Raju ialah seorang buruh kasar yang tiada masa depan. Orang yang tidak dilahirkan sebagai pemimpin, kata Kok Seng.

Tiba-tiba LRT itu berhenti di satu lokasi. Kok Seng hanya mengikut orang ramai turun walau dia tidak jelas di mana lokasinya. Setelah turun anak tangga terakhir Kok Seng menyedari tempat itu."Tempat orang Muslim sembahyang", fikirnya. Dalam bangunan itu Kok Seng melihat sebarisan orang sedang sembahyang dan ada seorang di depan sekali. Suasana tenang itu jika hendak dibanding dengan hiruk pikuk kota di sekelilingnya boleh diibaratkan seperti keju dengan kapur, fikir Kok Seng.

Kok Seng ingin melihat lebih dekat suasana yang menenangkan itu. Dia mengikut rombongan pelancong Korea yang memakai jubah biru mengelilingi bangunan itu. Kok Seng memerhatikan orang yang sedang memimpin jemaah sembahyang itu. Kulitnya berwarna hitam. Diperhatikannya betul-betul gelagat orang itu."Eh? Raju ke tu?"terpacul keluar dari mulut Kok Seng.

Kok Seng teringatkan lamunannya di atas LRT tadi. Dia merasakan Raju tidak dilahirkan sebagai pemimpin. "Kini dia telah menjadi sami!"Fikir Kok Seng.

Kok Seng ingin sangat bertemu Raju. Orang yang sudah berubah 180 darjah dari jangkaannya itu. Diperhatikannya Raju yang sedang sembahyang itu. Orang ramai di belakang mengikutnya, tunduk, berdiri kembali dan tunduk serendah-rendahnya meletakkan dahinya ke lantai. Kemudian dia duduk sambil membaca sesuatu. Sesudah itu dia berpaling ke kanan kemudiannya ke kiri. Orang ramai mengikut perbuatan Raju. Selepas itu ada antara orang-orang itu yang mundur ke belakang dan ada yang terus meninggalkan majlis sembahyang itu. Kok Seng tahu bahawa majlis itu telah selesai. Tapi Raju masih tetap di situ terkumat kamit membaca sesuatu. Beberapa orang turut kumat kamit membaca. Kemudian Raju menadahkan kedua-dua tangannya ke langit. Orang ramai mengikutnya. Raju berdoa dengan suara yang mendayu syahdu. Orang ramai mengaminkan doanya.Kok Seng terfikir,"inilah yang menjadi kekuatan orang Muslim di mana Tuhan menjadi tempat pergantungan mereka. Tidak seperti aku dan Alex yang mudah kehilangan tempat bergantung.

Selesai sembahyang Raju bersalaman dengan orang ramai kemudian dia bergegas ke tangga bagaikan hendak mengejar sesuatu. Sewaktu dia memakai kasut di anak tangga, Kok Seng menegurnya dari belakang, "Selamat tengah hari tuan sami".

No comments:

Post a Comment