Kok Seng memandu Chevroletnya ke butik Inasalam yang menempah batiknya. Dia ingin tahu siapakah tauke butik ini. Akhirnya mereka dapat bertemu. Dia memang mengenali wanita itu. Sudah 32 tahun umurnya tapi masih belum berkahwin. Nama sebenarnya Sabrina Abdus Salam kacukan Arab Melayu. Kok Seng tahu dari dulu Ina ini agak materialistik. 'Chevrolet' Kok Seng menyelamatkannya. Kalau tidak, kalau dia berkaki ayam atau berbasikal mahupun bermotosikal apatah lagi berkereta lembu atau kereta kuda sudah tentu dia tidak akan dilayan oleh Ina.
Kok Seng tahu itu semua tapi dia seolah-olah terlupa sikap buruknya dek kerana terpesona dengan kecantikan insan yang telah 'insane' dengan keduniaan itu. Kok Seng tidak tahu sikap materialistik Ina lebih teruk lagi. Baginya 'dananir dan darahim' (wang ringgit) adalah segalanya. Dari umurnya 19 tahun sudah ada jejaka yang meminangnya tapi dia menolak kerana tidak mencapai 'standard' kekayaan yang diimpikannya. Kok Seng sendiri ditolak dari menjadi teman hidupnya kerana tidak mempunyai kereta pada waktu itu. Oleh itu Kok Seng merajuk dan berhijrah ke Kuala Lumpur. Di KL Kok Seng berkenderaan awam sahaja dan tidak berkereta kerana ingin melupakan Ina dan melepasi bayang-bayangnya. Kereta Chevrolet itu pun hadiah baru dari Pak Jak untuk kegunaannya sebagai pengurus kilang batik.
Kini Kok Seng berdepan dengan Ina, ibarat luka lama berdarah kembali, ataupun cinta lama mekar kembali. Cintakan kecantikan bagi Kok Seng dan cintakan Chevrolet bagi Ina.
Kok Seng memerhatikan gerak mulut Ina sewaktu bercakap, gerakan bibirnya, pipinya dan matanya semuanya menarik perhatian Kok Seng. Rancak mereka berbual mengingatkan kenangan silam hingga tidak disedari dua jam sudah berlalu.
No comments:
Post a Comment